NOVEMBER 2021

8,000 Rakyat Marudi Nikmati Bekalan Air Bersih


MARUDI, Khamis - Penantian puluhan tahun penduduk di Marudi khususnya kawasan Lubok Nibong di sini untuk mendapatkan bekalan air bersih kini berakhir apabila projek bekalan air bersih menerusi Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya disiapkan. 

Projek berongkos RM38 juta tersebut biayaan Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan bersama dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) siap sepenuhnya pada September lepas.

Projek tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 penduduk di 32 rumah panjang dan dua kampung di sini.

Projek tersebut telah dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun kemudian telah ditender semula. 

Ketua Masyarakat Iban Marudi, Pemanca Randie Bunda berkata bekalan air bersih itu memberi sinar baharu kepada penduduk di untuk menikmati kemudahan seperti  masyarakat bandar.

Katanya sudah sekian lama penduduk Marudi memerlukan bekalan air bersih bagi aktiviti harian terutama di rumah panjang yang mempunyai jumlah pengguna air yang ramai.

“Projek ini memberi kelegaan dan keselesaan kepada rakyat di sini kerana mereka sudah lama mengalami kesulitan disebabkan kekurangan bekalan air bersih.

“Ia menjadi bukti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Persekutuan menerusi KPLB tidak meminggirkan keperluan rakyat di luar bandar," kata Randie kepada Bernama di majlis perasmian projek BALB di Rumah Panjang Ridab, Sungai Pasir di sini, hari ini. 

Majlis perasmian projek itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

-- BERNAMA

Sumber dari : Sarawakku